Sejarah Sekolah

Tapak SMK Air Putih sekarang berasal daripada Pusat Latihan Harian Perguruan. Pada tahun 1970, para pelajar dari Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan Jalan Gambut dipindahkan secara berperingkat ke tapak sekarang.

Sekolah ini telah pernah ditadbir oleh sebelas orang pengetua iaitu En. Gumukh Singh, P.J.K. (1965-1970), En.  S.T. Sivam (1971-1972), En. Hoo Chong Chew, A.M.N. (1973-1982), En. N.Vasanthan (1982-1984), Cik Hamidah bt. Wok Awang (1984-1986), En. Richard Lim Lean Keng, P.P.N., P.K.C. (1997-2000), En. Woo He Chuan, A.M.P., A.M.N. (2000-2003), Pn. Hajah Rosnah bt. Mohd Tawi (2003-2005), En.Chim Siew Wai, A.M.P., P.K.T. (2006-2011) dan yang terkini ialah En. Nandakumaran A/L Kathirvaloo.

Pada awal tahun 1971, sekolah dinamakan semula kepada Sekolah Menengah Rendah Jenis Kebangsaan  Air Putih. Pada 08 Januari 1971, Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Abdul Razak b. Dato Hussin telah melawat sekolah sempena pusat pemindahan banjir.

Bangunan sekolah ditambah seiring dengan keperluan pelajar lalu bengkel Seni Perusahaan telah dibina pada tahun 1971. Pada tahun berikutnya kelas Rancangan Khas Peralihan Deras dan Rancangan Khas Tingkatan Satu mula diperkenalkan. Bagi menambahkan lagi kemudahan pelajar, Perpustakaan Negeri Pahang telah ditempatkan sementara di sekolah ini dan pada tahun tersebut juga Asrama Rancangan Khas Putera telah diserahkan kepada sekolah.

Pada tahun 1974, sekolah dinamakan semula dengan nama Sekolah Menengah Air Putih dan bermulanya Tingkatan Empat Aliran Sastera. Bagi menyediakan kemudahan bersukan, gelanggang serbaguna telah dibina pada 22 Ogos 1977 dan seterusnya pembinaan blok baru untuk makmal sains pada tahun 1980. Pada tahun 1985 YB Dato Lim Ah Lek, ahli EXCO Negeri Pahang telah merasmikan Pusat Sumber Sekolah.

Kemudahan sekolah dipertingkatkan lagi dengan pembinaan bangunan tambahan sebanyak empat bilik darjah dan membesarkan bilik guru melalui gotong-royong dan dirasmikan oleh En.Adam Bin Abdul Kadir, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kemajuan Tanah & Kemajuan Wilayah pada tahun 1987. Seterusnya bangunan tiga tingkat (sekarang blok I) telah mula dibina pada tahun 1991. Manakala pada tahun 2002, bangunan makmal komputer pula didirikan.